MyMetro, 9 Nov 2013
Kajang: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) akan menganjurkan Satu
Karnival 1001 Rasa Sate Kajang yang akan berlangsung selama empat hari
bermula 19 Disember hingga 22 Disember di Taman Tasik Cempaka, Bandar
Baru Bangi, di sini.
Yang Dipertua MPKj, Datuk Hasan Nawawi Abd Rahman berkata, karnival
itu bertujuan menghargai peranan pengusaha sate di Kajang selain
mempromosikan sate sebagai makanan warisan Negeri Selangor.
Katanya, pihaknya bercadang menjemput 10 peniaga sate di bandar ini sempena karnival yang bakal berlangsung bagi memberi peluang kepada peniaga menjalankan aktiviti perniagaan dan memperkenalkan kepelbagaian sate yang dijual.
Hasan Nawawi berkata, di Kajang saja terdapat lebih 100 peniaga
sate dan kewujudan peniaga sate seperti Willy Sate dan UK Sate yang
mendapat sambutan menggalakkan mengukuhkan lagi kedudukan bandar ini
sebagai Bandar Sate. “Dulu bila sebut saja Kajang, orang ramai akan
terus bercakap tentang keenakan Sate Haji Samuri, tetapi sekarang
keadaan sudah berubah,” katanya ketika sidang media semalam.
“Peniaga sate semakin bertambah, rasa pun sudah berbeza. Melalui karnival ini, secara tidak langsung orang luar sedar kepelbagaian rasa sate yang terdapat di Kajang,” katanya ketika sidang media semalam.
Hasan Nawawi berkata, selain sate, pengunjung yang hadir boleh menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disediakan pihaknya sepanjang program berlangsung.
“Kami juga menyediakan aktiviti yang sesuai untuk pengunjung di
semua peringkat umur antaranya seperti pertandingan paintball, futsal,
memancing, menghias kek dan banyak lagi selain akan dihiburkan dengan
persembahan artis dan kehadiran Upin & Ipin serta Boboiboy,”
katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/11/09
No comments:
Post a Comment