Johan Abdul Aziz (tengah) dan Mat Jah Roslan (enam dari kiri) bergambar bersama Yang Dipertua PIBG sekolah-sekolah di Hulu Langat selepas merasmikan Majlis Aspirasi Yang Dipertua PIBG Daerah Hulu Langat di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Selangor, baru-baru ini. UTUSAN/NOOR AZLINA JAAFAR
KAJANG 22 April – Sekurang-kurangnya sebanyak 10 buah sekolah perlu dibangunkan di sekitar kawasan ini bagi menampung kepadatan pelajar bagi satu-satu sekolah.
Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Langat, Mat Jah Roslan berkata, langkah itu bagi menampung kepadatan pelajar di hampir semua sekolah di sekitar Hulu Langat.
“Tidak dinafikan sekolah sedia ada sekarang sudah banyak, tetapi kapasiti sesebuah sekolah tidak boleh menampung semua pelajar dalam satu-satu masa.
“Jumlah pelajar bagi sesebuah sekolah kini sudah mencecah hampir lebih 3,000 sehingga terpaksa dibahagikan kepada dua sesi pembelajaran,” katanya kepada Utusan Malaysia dekat sini semalam.
Menurut Mat Jah, kepadatan yang berlaku sepatutnya dipecahkan kepada beberapa sekolah bergantung bagi memastikan keselesaan untuk proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).
Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz dan Presiden Majlis Permuafakatan PIBG 1Selangor (MPPIBG1S), Datuk Seri Abd. Rahman Ali.
Sementara itu, Johan berkata, pihak terlibat sedia maklum dengan masalah yang berlaku dan langkah jangka panjang juga telah disusun.
Bagaimanapun katanya, ada beberapa sekolah baharu sudah dalam proses pembinaan dan ada yang masih di peringkat permohonan dan kelulusan daripada kerajaan.
“Kita akan tengok mana sekolah yang kritikal dan lebih memerlukan untuk disediakan di semua kawasan ini.
“Antaranya seperti di sekolah di Pelangi Semenyih, SMK(J)C Sungai Long dan SJKC Kajang 2 yang telah menerima peruntukan daripada kerajaan,” katanya lagi.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/kajang-perlukan-10-buah-sekolah-baharu-1.283797#sthash.B4NoxZNu.dpuf
No comments:
Post a Comment