From YB Dr Shafie's blog (ADUN Bangi)
Saturday, April 17, 2010
Menghadiri Mesyuarat Agung Persatuan Penduduk Taman Bukit Kajang Baru
Sepatutnya mesyuarat ini telah berlangsung pada 21 Mac 2010, tetapi ditangguh kepada hari ini. Secara kebetulan ADNS mempunyai ruang masa menghadirinya. Mesyuarat diadakan di sebuah rumah ahli di Jalan Baru 2E, Taman Bukit Kajang Baru dengan mendirikan khemah di bahagian hadapan rumah. Ketibaan ADNS Bangi disambut oleh Dato' Chow Tow Chong (Datuk Chong) Bekas ADUN Kajang dan calon lawan pilihanraya ADNS bagi kawasan Kajang 1999 (kini pindah ke sini dari Bukit Mewah). Beliau selaku Penasihat Persatuan, juga menyambut kehadiran Encik Vivehananthan a/l Vairakkannu selaku Pengerusi persatuan.
Sungguhpun majlis agak kecil dihadiri tidak sampai 20 orang ADNS berada di tengah para professional yang tinggal di kawasan elit ini. Taman Bukit pada masa mula-mula UKM dibuka 1977, para pensyarah lebih suka memilih kediaman di sini berbanding dengan Bandar Baru Bangi, kerana BBB pada masa itu masih hutan dan belum membangun. Kami bercakap-cakap sebelum majlis antaranya dengan En.N. Murugan selaku Penolong Setiausaha, En Lee Poh Hua Bendahari, En. Muhammad, En. Sulaiman dan lain-lain.
Dalam majlis En. Viveh Pengerusi Persatuan di dalam ucapannya memaklumkan Persatuan ditubuhkan akibat dari berlakunya pecah rumah dan peristiwa ragut yang membawa penduduk lebih kurang 30 orang membuat pertemuan pada 26.3.2009 bertempat di Surau al-Hidayah berdekatan dan menubuhkan Protem Committee pada tarikh tersebut. Persatuan juga bertujuan mengeratkan hubungan antara penduduk. Persatuan ini diluluskan pendaftaran oleh ROS (Pendaftar Pertubuhan) pada 14.12.2009. Keahlian adalah 50 orang.. Maka pertemuan pada hari ini adalah merupakan Mesyuarat Agung Pertama bagi melantik AJK Rasmi.
ADNS Bangi, ketika dijemput berucap berterima kasih kerana menerima jemputan persatuan yang ADNS menyifatkan benar-benar bersifat multirasial. ADNS bergembira dapat bertemu Dato' Chong rakan politik dulu dan sudi menerima kehadiran ADNS Bangi di sini. ADNS juga memuji atas inisiatif penduduk dan prihatin persatuan terhadap keselamatan dan mengharapkan persatuan dapat menjalankan kegiatan-kegiatan yang dapat memanfaat dan mengeratkan hubungan antara penduduk. ADNS sedia bekerjasama dengan persatuan dan membantu apa yang diperlukan sekadar kemampuan.
Melalui pertemuan pada hari ini persatuan memaklumkan kepada ADNS tentang permohonan terhadap MPKj bagi menjadikan kawasan taman di sini kawasan 'Guarded'. Penduduk juga memaklumkan tentang masalah gangguan anjing liar dan memohon pokok-pokok besar dipotong dan semak-semak rumput dan lalang ditebas. ADNS berjanji akan merujuk perkara yang telah disampaikan ke atas ini diambil tindakan. ADNS bergembira di atas kerjasama penduduk yang bersifat multi-rasial dan mengharapkan hubungan dan kerjasama dengan ADNS Bangi berterusan.
Until the next time, cheers.
No comments:
Post a Comment