banjir   
Hampir 60 rumah di Kampung Sungai Ramal Dalam ditenggelami air, petang tadi.

KAJANG – “Memang terkejut apabila air tiba-tiba melimpah masuk ke dalam rumah dan terus menenggelamkan perabot serta peralatan elektrik,”kata penduduk Kampung Sungai Ramal Dalam, Subaidah Mustafa, 58.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, kira-kira 300 penduduk dari 60 rumah di sini terjejas apabila kediaman didiami dilimpahi hujan lebat yang melanda kawasan itu, petang tadi.

Subaidah berkata, dalam keadaan kelam-kabut dia dan anaknya terus mengalihkan barangan ke tempat tinggi.

Jelasnya,  sejak 26 tahun mendiami kampung itu, semalam kejadian banjir terburuk menyebabkan dia serta penduduk lain kerugian hampir ribuan ringgit apabila beberapa peralatan rosak ditenggelami air.

Menurutnya, ketika kejadian dia sedang melipat pakaian manakala cucu yang  kebetulan berada di rumahnya pula tidur.

Subaidah berkata, rumah diduduki itu sering dinaiki air tetapi kebiasaannya hanya sampai di bahagian dapur.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila air terus melimpah masuk memenuhi segenap ruang rumahnya hampir ke paras lutut.

“Kali terakhir kami di sini menghadapi bencana banjir serius pada 12 tahun yang lalu, selepas itu ia mula berkurangan sehinggalah kejadian petang ini.

“Memang rasa bimbang bencana berulang apatah Hari Raya Korban bakal menjelang beberapa hari lagi,”katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohammad Firdaus Mohd Kamil, 26, berkata, sebaik menyedari air mula masuk ke dalam ruang tamu rumah, dia terus mengalihkan peralatan elektrik dan perabot ke tempat lebih selamat.

Katanya, kejadian dipercayai berpunca daripada sungai yang didakwa tidak mampu menampung jumlah hujan yang banyak.

Ditambah dengan kedudukan rumahnya yang terletak di kawasan rendah,  lokasi itu dengan mudah dinaiki air apabila hujan terlalu lebat.

“Saya sedang menonton televisyen, apabila air melimpah masuk dalam rumah terus menjerit kepada ahli keluarga lain  supaya segera mengalihkan barang-barang.

“Ada juga yang tidak sempat dialihkan dan terapung dalam air begitu sahaja,”katanya.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan, beberapa kawasan sekitar Bandar Baru Bangi turut terjejas akibat hujan lebat hari ini.

Beberapa buah kenderaan dilapor ditenggelami air dan kesesakan teruk berlaku di lokasi terlibat.